Searching...
Khamis, 3 Mac 2016
3:32 PTG

Giliran Adiwira Deadpool Yang Masih Hangat Dipawagam Jual Makanan Tepi Jalan

Mengambil inspirasi daripada peniaga nasi lemak Spiderman di Kelantan, seorang pemuda di sini menggunakan adiwira Deadpool bagi menarik perhatian pelanggan. Malfil Yusof, 28, yang berniaga sandwich telur dan tuna serta kopi di tepi Jalan Sulaman di sini sejak dua minggu lalu, menyasarkan pengguna laluan berkenaan menghala ke bandar raya Kota Kinabalu. 


Katanya, beliau hanya menggunakan konsep itu dengan bantuan rakan yang mengenakan kostum berkenaan sekali sekala, bermula semalam demi mencari pelanggan baharu, selain memperkenalkan menu disediakan. Sama seperti peniaga nasi lemak Spiderman di Kelantan, Malfil berkata, cubaan beliau tidak sia-sia kerana pelanggan tidak putus-putus singgah di gerainya dan ramai yang mahu bergambar. 

"Perniagaan ini diilhamkan bersama adik tiri saya selepas melihat konsep menjual menu sarapan di tepi jalan sesak oleh seorang pemuda di Sandakan. Bagaimanapun, idea menggunakan kostum Deadpool datang daripada pelanggan. "Secara kebetulan saya mengenali seorang rakan yang sering mengadakan pertunjukan menggunakan pelbagai kostum adiwira, jadi kami minta bantuan beliau untuk jadi Deadpool semalam dan tak sangka impaknya begitu besar," katanya. 

Malfil berkata, beliau dan adiknya menjual sandwich dengan harga RM1.50 sebungkus dan kopi RM1 secawan. "Kami hanya menjual 100 sandwich setiap hari bermula jam 6.30 pagi dan habis dalam tempoh 30 minit hingga sejam," katanya yang merancang membawa rakannya menggunakan kostum Batman pula selepas ini. Sementara itu, adik tirinya, Rizal Aidala, 26, berkata mereka juga merancang memberikan kopi secara percuma kepada pelanggan setiap Jumaat bermula esok. "Keuntungan yang diperoleh memang tidak banyak, namun kami bersyukur kerana matlamat kami ialah berniaga sambil beramal," katanya.



*Sumber Berita Harian




 

0 comments:

Catat Ulasan

 
Back to top!